Alangkah seronoknya jika anda tiada hutang! Ada beberapa langkah yang anda boleh ambil sebagai seorang pemilik hartanah untuk capai impian itu. Mari kita lihat kebaikan dan kekurangan membayar pinjaman perumahan anda lebih awal, serta cara dan proses melakukannya.
Ramai orang yang bergantung kepada pinjaman perumahan untuk menjadi pemilik hartanah. Setelah menandatangani dokumen pinjaman dan Perjanjian Jual Beli (SNP Rumah), anda tidak jauh dari kehidupan menetap atau menyewa hartanah baru anda.
Walaupun ia boleh menjadi peristiwa penting dan menggembirakan buat anda, tetapi ia juga menandakan permulaan perjalanan yang panjang untuk pembayaran semula pinjaman perumahan tersebut. Ada yang berpendapat bahawa pinjaman hartanah dengan asas yang tepat boleh dianggap sebagai “hutang baik.” Namun, ada juga yang lebih suka melangsaikan hutang secepat mungkin.
Sekiranya anda tergolong dalam kumpulan yang tidak suka berhutang, mari kita lihat bagaimana anda boleh melunaskan pinjaman perumahan lebih awal, serta kebaikan dan kekurangan menggunakan kaedah ini.
6 Cara Menjimatkan Bayaran Faedah Dan Melunaskan Pinjaman Perumahan Lebih Cepat
Semakin cepat anda melunaskan pinjaman perumahan anda, semakin kurang faedah yang perlu anda bayar. Berikut adalah beberapa cara untuk melakukannya.
1) Pembiayaan semula kepada tempoh pinjaman yang lebih pendek.
Bertukar kepada pinjaman perumahan jangka pendek boleh menjimatkan banyak bayaran faedah.
Contohnya, jika anda mempunyai pinjaman RM600,000 dengan kadar faedah 4.5% setahun, bayaran ansuran bulanan untuk pinjaman 20 tahun adalah sekitar RM3,800, manakala bayaran ansuran bulanan untuk pinjaman 25 tahun adalah sekitar RM3,350. Boleh dapatkan anggaran bayaran balik pinjaman menggunakan Kalkulator PropertyGuru.
Jadi, kalau kira:
• 20 tahun: RM3,800 x 12 bulan x 20 tahun = RM912,000
• 25 tahun: RM3,350 x 12 bulan x 20 tahun = RM1,005,000
Penjimatan bayaran faedah mencecah hampir RM100,000!
Namun, sebelum anda membuat sebarang pertukaran, pastikan anda mampu membuat bayaran bulanan yang lebih.
2) Bayaran tambahan yang kecil
Anda boleh membuat bayaran tambahan setiap bulan atau tahun untuk menjimatkan faedah, dan melunaskan pinjaman perumahan anda lebih awal. Hubungi bank anda mengenai terma dan syarat gadai janji anda sebelum membuat bayaran tambahan ini.
Untuk beberapa jenis gadai janji seperti pinjaman semi-fleksi atau fleksi-penuh, anda boleh membayar lebih daripada ansuran bulanan dan mengurangkan jumlah prinsipal dengan kadar yang lebih cepat.
Walau bagaimanapun, perlu diingati bahawa ada kalanya pinjaman semi-fleksi dan fleksi-penuh menawarkan kadar faedah yang kurang kompetitif.
3) Bayaran prinsipal yang lebih tinggi
Sekiranya simpanan anda mencukupi, mungkin mencecah RM100,000, anda boleh membuat pembayaran secara sekali sahaja untuk menjimatkan bayaran faedah dan memendekkan tempoh pinjaman anda.
4) Pengeluaran KWSP
Anda boleh membuat pengeluaran dari Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mengurangkan atau melangsaikan baki pinjaman perumahan anda. Beberapa syarat termasuk:
Berumur di bawah 55 tahun.
Sekurang-kurangnya RM500 dalam Akaun 2 KWSP.
Membeli / membina rumah kediaman pertama atau kedua*
Pinjaman perumahan dengan pemberi pinjaman yang diiktiraf oleh KWSP.
Rumah kediaman telah dicagar.
*Menurut KWSP, kediaman termasuk rumah banglo, teres, berkembar, apartment, kondominium, apartment studio, apartment servis, rumah bandar, SOHO, atau lot kedai dengan unit kediaman di Malaysia.
5) Pilih pinjaman perumahan dengan kadar faedah rendah
Setiap bank menawarkan pelbagai jenis pakej pinjaman perumahan dan anda boleh cuba dapatkan pinjaman dengan kadar faedah yang rendah.
Bila anda bayar faedah bulanan rendah, lebih tinggi bahagian dari bayaran bulanan akan diperuntukkan untuk jumlah prinsipal.
Jadi, ada kemungkinan jumlah prinsipal boleh berkurangan dengan lebih cepat dan tempoh pinjaman boleh jadi lebih pendek. Namun, ianya masih bergantung kepada jumlah bayaran balik anda setiap bulan.
6) Nilai tunai dari MLTA
Sekiranya anda mempunyai Insurans Jangka Tahap Gadai Janji (MLTA), anda boleh menggunakan nilai tunai MLTA anda untuk melunaskan pinjaman perumahan anda lebih awal.
Menurut Jonathan Ng, pakar gadai janji dari Smart Choice Solution Sdn Bhd, kebanyakan polisi MLTA mempunyai nilai tunai yang boleh dikeluarkan oleh peminjam untuk membayar prinsipal pinjaman dan membantu melunaskan pinjaman perumahan lebih awal.
Anda boleh semak nilai tunai MLTA dengan bank atau syarikat insurans anda.
Sebaliknya, Jaminan Tempoh Pengurangan Gadai Janji (MRTA) tidak mempunyai nilai tunai dan peminjam tidak boleh menggunakannya untuk bayaran pinjaman.
Contoh fungsi MLTA di Malaysia:
Seorang peminjam berusia 40 tahun membeli MLTA yang meliputi RM700,000 selama 30 tahun. Premium adalah RM7,333 setahun, dan jumlah premium selama 30 tahun adalah RM219,990.
Sekiranya tiada apa berlaku dalam tempoh pinjaman 30 tahun, peminjam masih akan menerima kembali nilai akaun sehingga RM207,600. Tambahan lagi, nilai tunai yang terkumpul boleh dikeluarkan pada bila-bila masa.
4 Pertimbangan Sebelum Membayar Balik Pinjaman Perumahan Lebih Awal
Adakah anda patut membayar gadai janji lebih awal? Apakah kelebihan membayar pinjaman perumahan awal di Malaysia? Kelebihan utama membayar pinjaman anda lebih awal adalah penjimatan bayaran faedah yang boleh memberi ketenangan fikiran.
Walau bagaimanapun, pastikan anda pertimbangkan beberapa perkara berikut terlebih dahulu sebelum membuat bayaran tambahan kepada bank.
1) Adakah bayaran lebih setiap bulan akan mengurangkan simpanan anda?
Pastikan anda mempunyai dana untuk perbelanjaan yang tidak dijangka, pengangguran, kecemasan perubatan, atau tempoh yang mencabar seperti pandemik yang melanda baru-baru ini.
Dana kecemasan ini harus menampung perbelanjaan sara hidup sekurang-kurangnya 6 bulan.
Sekiranya anda mempunyai hutang dengan kadar faedah yang lebih tinggi, anda boleh membayarnya terlebih dahulu kerana ini akan menjimatkan lebih banyak wang.
Ng bersetuju bahawa anda harus mengutamakan bayaran pinjaman berfaedah tinggi terlebih dahulu sebelum bayaran pinjaman berfaedah rendah.
Ng menasihati, “ Lazimya, pinjaman tanpa cagaran (atau “Pinjaman Bersih”) seperti kad kredit atau pinjaman peribadi akan dikenakan faedah yang lebih tinggi kerana risiko yang lebih tinggi. Kebanyakan sewa beli atau pinjaman perumahan mempunyai faedah yang agak rendah kerana terdapat cagaran. ”
Contoh:
Tan mempunyai 2 pinjaman. Pinjaman pertama adalah pinjaman perumahan yang dicaj faedah 4% selama 10 tahun. Jumlah faedah pinjaman rumahnya adalah RM21,494.17 dan bayaran ansuran bulanan adalah RM1,012.45
Pinjaman kedua adalah pinjaman peribadi, juga dengan faedah 4% tetapi dengan Kadar Faedah Tetap selama 10 tahun. Jumlah faedah pinjaman peribadinya adalah RM40,000 dan bayaran ansuran bulanan adalah RM1,167.
Mengapakah faedah pinjaman perumahan hanya RM21,494.17 berbanding faedah pinjaman peribadi RM40,000?
Faedah pinjaman perumahan dikira menggunakan kaedah pengurangan baki. Oleh itu, kadar faedah efektif (EIR) pinjaman perumahan adalah 4%.
Untuk pinjaman peribadi, faedah akan dikira terlebih dahulu. Selepas menukar faedah pinjaman peribadi menjadi EIR, ia bukan 4% lagi tetapi 7.11%.
3) Adakah bank akan mengenakan penalti jika anda membayar lebih atau menyelesaikan pinjaman perumahan lebih awal?
Semak syarat perjanjian pinjaman dan hubungi bank anda. Kebiasaannya akan ada tempoh terkunci pinjamandimana anda perlu membayar penalti jika menyelesaikan pinjaman.
Anda juga mungkin dikenakan penalti jika menyelesaikan pinjaman perumahan anda walaupun tempoh terkunci sudah lepas.
Pakej bukan sifar kos berpindah/pembiayaan kos berpindah: Tempoh terkunci biasanya 3 tahun
Pakej sifar kos berpindah: Tempoh terkunci biasanya 5 tahun.
4) Wujudkah pelaburan dengan pulangan yang lebih tinggi daripada kadar faedah pinjaman?
Sekiranya ada pelaburan dengan kadar pulangan yang lebih tinggi daripada kadar faedah pinjaman perumahan maka anda harus mempertimbangkannya.
Semua pelaburan mempunyai risiko. Oleh itu, ia bergantung kepada selera risiko anda.
Ng berpendapat bahawa jika hutang anda boleh menjana pendapatan dan meningkatkan nilai bersih anda, ia boleh dianggap sebagai “hutang baik”.
“Ada pelbagai cara untuk menjana wang dengan hartanah. Anda boleh mengambil pinjaman perumahan untuk membeli hartanah, tinggal di rumah itu untuk beberapa dekad, dan kemudian menjualnya untuk mendapat keuntungan.
Anda juga boleh menjana pendapatan dari penyewaan. Hartanah komersial boleh menjana hasil sewa yang lebih tinggi dan keuntungan modal jika anda memilih hartanah yang tepat,” Ng berkata.
Melunaskan Pinjaman Perumahan Lebih Awal vs Melaburkan Wang Tunai Anda
Ini adalah soalan yang penting. Anda ingin memanfaatkan simpanan dari hasil titik peluh anda. Seperti yang dinyatakan di atas, anda perlu mengkaji sebarang pelaburan dan pulangannya.
“Sekiranya profil pelaburan anda cukup baik untuk menjana hasil yang lebih daripada faedah pinjaman perumahan, peminjam disyorkan memanfaatkan dana tambahan untuk menjana lebih pendapatan.
Jika anda melunaskan pinjaman perumahan anda lebih awal, anda perlu mengeluarkan lebih wang tunai. Ini akan mengurangkan potensi pulangan pelaburan anda, ” kata Ng .
Apakah Proses Untuk Menyelesaikan Pinjaman Perumahan Anda?
1) Mohon penyata tebus hutang dari bank. (Sesetengah bank adalah percuma, boleh bertanya pada bank sebelum memohon.)
2) Sekiranya penyelesaian pinjaman berada dalam tempoh terkunci, (bermakna anda tak dibenarkan membuat pembayaran penuh, menjual atau membuat pembiayaan semula hartanah anda), mungkin ada penalti dari 2% hingga 3%.
3) Lazimnya, penyata tebus hutang sah selama 1 bulan. Beberapa bank mengeluarkan penyata tebus hutang dengan jumlah penebusan yang berbeza (jumlah hutang tertunggak dengan bank ). Contohnya:
1 Februari: RM100,000
1 Mac: RM105,000
1 April: RM110,000
Jumlah di atas berbeza kerana kadar faedah dan caj yang dikira hingga tarikh berkenaan.
Apa Yang Berlaku Apabila Anda Menyelesaikan Pinjaman Perumahan Anda Sepenuhnya Di Malaysia?
1) Surat pengesahan
Bank menutup akaun pinjaman dan menyiapkan surat pengesahan penyelesaian pinjaman.
Semak dan pastikan skor kredit anda menggambarkan penyelesaian ini. Anda boleh menghubungi Bank Negara Malaysia, CTOS, Experian (dulu dikenali sebagai RAMCI) dan Biro Kredit Malaysia.
2) Lantik peguam
Peguam yang anda lantik akan membantu melaksanakan discaj caj (DOC), juga dikenali sebagai Borang 16N, untuk hartanah dengan hak milik individu atau strata.
Hartanah dengan hak milik induk akan memerlukan Surat Ikatan Penerimaan dan Penyerahan Semula (DRR). Anda perlu membayar yuran guaman, yuran setem, yuran pendaftaran, dan yuran pengeluaran.
3) Hak milik hartanah anda
a. Untuk DOC: Peguam anda akan menyerahkan Borang 16N kepada pejabat tanah yang akan memprosesnya untuk membatalkan nama bank dari geran. Anda perlu memberikan MyKad anda / pemilik, cukai tanah dan cukai taksiran terkini, serta bukti penyelesaian pinjaman.
Borang 16N akan ditandatangani oleh bank. Kemudian, bank akan menyerahkan dokumen pinjaman, termasuk salinan asal hak milik individu atau strata. Setelah borang disetem dan didaftarkan di pejabat tanah yang berkenaan, nama bank tiada lagi dalam geran.
b. Untuk DRR: Peguam anda mengemukakan Surat Kuasa Wakil (PA) untuk menandatangani dokumen bagi pihak bank. Setelah DRR disetem, ia akan dibawa ke mahkamah untuk pembatalan PA sebelumnya. Bank menyerahkan kembali semua hak dan kepentingan kepada pemilik hartanah.
Setelah hak milik individu atau strata dikeluarkan, pemilik hartanah perlu membuktikan penyelesaian pinjaman dengan menunjukkan DRR. Selepas Penyempurnaan Gadaian, pemilik akan menyimpan hak milik asal.
Mula Kecil-Kecilan
Ingat, jangan terburu-buru. Anda boleh menjual atau menyewa rumah terlebih dahulu, dan kemudian menaik taraf kepada rumah yang lebih besar. Jangan sampai pembelian hartanah anda menjadi suatu mimpi ngeri yang akan menghalang anda daripada menabung untuk masa depan.
Setelah menyelesaikan pinjaman perumahan, anda akan mempunyai lebihan wang tunai setiap bulan. Gunakan dengan bijak. Anda boleh menambah simpanan deposit tetap, laburkan, beli hartanah sewa, bercuti, atau menabung untuk pendidikan anak-anak anda.
Ng menasihati, “Langkah pertama untuk meningkatkan nilai bersih anda adalah melunaskan hutang anda. Nilai bersih anda adalah ekuiti tolak hutang. Dengan mengurangkan hutang anda, anda juga akan meningkatkan nilai bersih anda. Mulakan dengan pelaburan bijak, bukan hanya dalam hartanah.
Pelbagaikan portfolio anda dengan bon, unit amanah, saham dan lain-lain lagi.
“Pendidikan adalah pelaburan terbaik dan harus diutamakan. Anda mungkin bukan pakar pelaburan dalam setiap bidang tetapi anda boleh meningkatkan ilmu yang akan memanfaatkan pelaburan anda. Ramai yang mengalami kerugian besar kerana tidak memahami pelaburan mereka. Oleh itu, tidak rugi untuk mencari ilmu.”
Penafian: Maklumat disediakan adalah maklumat umum sahaja. iProperty.com Malaysia Sdn Bhd tidak mempunyai tanggungjawab perwakilan atau penjaminan berkaitan maklumat diberikan, termasuk tetapi tidak terhad kepada sebarang perwakilan atau penjaminan berkaitan ketepatan bagi sebarang tujuan maklumat yang mana dibenarkan undang-undang. Walaupun semua usaha telah diambil bagi memastikan maklumat disediakan di dalam artikel ini adalah tepat, boleh dipercayai dan lengkap ketika ia ditulis, maklumat disediakan di dalam artikel tidak boleh disandarkan untuk membuat sebarang keputusan kewangan, pelaburan, harta tanah atau perundangan. Selain itu, maklumat tersebut tidak menggantikan nasihat profesional terlatih yang mempertimbangkan fakta dan situasi persendirian anda, dan kami tidak menerima pertanggungjawaban jika anda menggunakan maklumat tersebut bagi membuat keputusan.
By Iproperty News
Comments